Sunday, 10 July 2011

KABUS DI PERBUKITAN (Sinopsis Bab11-15)

Bab 11 : Kasih Ibu Sepanjang Jalan
Kematian Rahayu meninggalkan kesan yang mendalam terhadap ibu kandungnya, Salmah. Dia sering teringat akan Rahayu dan mula diserang sakit jantung. Suatu pagi Salmah mahu ke pasar di Sungai Haji Dorani. Dia mahu membeli belacan di gerai Pak Talib. Ghazali sering datang untuk membantu Faridah. Salmah mencadangkan agar Faridah berkahwin dengan Ghazali tetapi Faridah berasa malu dan bimbang dianggap perigi mencari timba. Namun demikian Ghazali telah berterus terang untuk mengambil Faridah sebagai isteri. Rombongan peminangan akan dihantar untuk meminang Faridah secara rasmi. Faridah seba salah. Dia bimbang kekecewaan pertama akan berulang kembali. Akhirnya Faridah bersetuju untuk menerima Ghazali sebagai teman hidupnya. Salmah berasa sangat gembira dengan persetujuan Faridah.
Bab 12 : Tekad
Azrul menamatkan pengajiannya di UPM. Namun demikian beliau tidak berminat untuk bekerja makan gaji. Dia mahu memulakan projek ternakan kambing. Pasaran kambing di negara ini semakin besar. Berdasarkan kajian Azrul, terdapat pelbagai spesies kambing yang sesuai dipelihara. Keputusan Azrul mendapat sokongan bapanya tetapi ibunya agak resah. Suatu hari, Azrul menziarahi kubur arwah Rahayu. Dia terserempak dengan Faridah yang kebetulan menziarahi kubur adiknya. Dia teringat akan kisah kehilangan Faridah ketika Rahayu sedang dirawat di hospital. Mereka berdua berkenalan. Namun kehidupan Azrul agak muram kerana masa terkenangkan Rahayu. Dia banyak termenung hingga disedari oleh ibunya. Namun Azrul menyakinkan ibunya bahawa dia akan meneruskan niatnya untuk bekerja sendiri. Dia tetap menjadikan Rahayu sebagai pencetus semangatnya untuk menghadapi masa hadapan yang mencabar.
Bab 13 : Rindu
Ghazali telah bertukar ke Kelang. Dia hanya pulang ke rumah dua atau tiga kali dalam seminggu. Faridah masih tinggal di Sungai Besar untuk menemani ibunya. Salmah pula meneruskan kehidupan dengan mengerjakan sawah. namun dalam jiwanya dia sangat rindu akan anaknya. Bertahun-tahun dia terpisah dengan Ayu setelah dibawa pergi oleh Kamarudin selepas mereka berpisah. Fikiran Salmah semakin terganggu. Dia sering menziarahi kubur anaknya itu. Dia sering teringat saat-saat terakhir kehidupan Ayu, ketika anak gadisnya pulang untuk bersama-sama dengannya. Oleh sebab itu dia sangat sukar melupakan Rahayu, walaupun dua tahun selepas Rahayu meninggal dunia. faridah dan Ghazali bimbang dengan keadaan Salmah. Faridah menceritakan tentang Azrul kepada Ghazali. Katanya Azrul terlalu sayang akan arwah Rahayu. Kini Azrul mengusahakan ternakan kambing dan tapak semaian. Dia mahu mengotakan janjinya dengan arwah Rahayu untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya.
Bab 14 : Ibu, Angin Telah Menderu Pergi
Faridah bangun awal pagi, iaitu pukul 4.00 pagi. Dia menunaikan solat tahajud. Entah mengapa hatinya berasa resah. Ketika fajar menyingsing, Faridah membasuh beras kerana ibunya berpesan kepadanya untuk masak nasi lemak. Faridah berasa hairan kerana ibunya lambat bangun pagi itu. Ketika cuba dikejutkan, barulah dia sedar bahawa ibunya telah meninggal dunia. Faridah memeluk tubuh ibunya dengan penuh kasih. Dia berasa pemergian ibunya ialah titik akhir penderitaan orang tua itu.
Bab 15 : 25 Tahun Kemudian – Cintaku Abadi
Faridah kini berada di New Zealand. Dia telah berhijrah ke negara itu sejak 25 tahun yang lalu. Dia tinggal di Rosewood iaitu pekan kecil berhampiran bandar Christchurch. Dia telah berkahwin dengan Soleh Johnsons dan memiliki dua orang anak perempuan, Anne dan Melina. Faridah melalui kenangan pahit di tanah air sendiri. Tidak lama selepas ibunya meninggal dunia, Ghazali pula meninggal akibat kemalangan jalan raya. Dia hampir gila dengan tekanan hidup akibat kehilangan orang yang tersayang. Nasibnya baik apabila dia ditawarkan oleh ibu pejabat JKM untuk berkursus selama enam bulan di New Zealand. Selepas itu dia tidak balik-balik lagi ke kampung kerana telah bertemu jodoh dengan Soleh Johnsons. Ingatannya terhadap Sungai Besar tetap abadi. Suaminya memahami perasaan Faridah. Soleh mengusahakan kawasan ternakan dan pusat penyembelihan kambing. Dia sering mengupah pelajar Islam dari negara luar untuk menyembelih kambing sebagai kerja sambilan.

0 comments:

Post a Comment

 
Nota Tuisyen Tatapan Minda Copyright © 2011